Thursday, September 22, 2011

Siapakah orang yg paling alim (berilmu) setelah para Nabi dan Imam?

Siapakah orang yg paling alim (berilmu) setelah para Nabi dan Imam?

Rasulullah Saw:
"Orang yg menggabungkan ilmu sekalian manusia dengan ilmunya".

Dengan apakah ilmu dapat terbuka?

Rasulullah Saw:
"Ilmu adalah harta simpanan dan kuncinya adalah bertanya".

Apakah zakat ilmu?

Rasulullah Saw:
"Mengajarkannya pada mereka yg belum mengetahui".

Bagaimana adab belajar ilmu?

Rasulullah Saw:
"Menyerapnya, menyimaknya, menjaganya lalu mengamalkan dan menyebarkannya".

Berkenaan dengan ilmu, ada empat golongan yg mendapatkan ganjarannya?
Siapa saja mereka?

Imam Baqir as:
"Mereka yg bertanya, yg menjadi pembicara, pendengar dan yg mencintai mereka".

Apa cara mengikat ilmu?

Rasulullah Saw:
"Dengan menuliskannya".

Apakah pangkal ilmu?

Rasulullah Saw:
"Makrifat Allah (mengenal Allah) dengan sesungguhnya".

Apakah penyakit ilmu?

Rasulullah Saw:
"Kelupaan".

Apakah penyakit ulama?

Imam Ja'far ash-Shadiq as:
"Tamak, pelit pamer (riya), fanatik, suka pujian, memperpanjang pembicaraan
namun tak sampai pada inti, memaksa diri untuk memperindah tutur-kata
dengan melebih-lebihkan kosa kata, kurang malu kepada Allah, membanggakan
diri dan meninggalkan amal yg dia ajarkan".

Kapan seorang alim wajib untuk mengajarkan ilmunya?

Rasulullah Saw:
"Jika timbul bi'dah dalam umatku, maka orang-orang alim harus
mengajarkan ilmunya".

Para ahli fikih akan menjadi penerus para Rasul sepanjang mereka tidak
"memasuki dunia". Apa maksudnya?

Rasulullah Saw:
"Mengikuti penguasa".

Ada dua golongan umat jika mereka baik, maka baiklah semuanya dan
jika mereka rusak, maka rusaklah semuanya. Siapakah mereka?

Rasulullah Saw:
"Fuqaha (para ahli hukum agama) dan umara' (para pejabat pemerintahan)".

Ahli hukum agama manakah yg selayaknya kita ikuti (taqlid)?

Imam Ja'far ash-Shadiq as:
"Fuqaha yg menjaga diri dan agamanya, melawan nafsunya dan tunduk
pada perintah Tuhannya, maka wajiblah bagi orang-orang awam untuk
bertaklid kepadanya".

Saturday, August 20, 2011

LAILATUL QADAR

BADAT PUASA
Firman Allah Taala:
إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ (1) وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ (2) لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ (3)
"Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Qur'an pada malam Lailatul Qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui tentang kebesaran malam Lailatul Qadar itu? Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan." (1)
Bulan Ramadhan, al-Qur'an dan "Malam Lailatul Qadar" mempunyai hubungan yang rapat antara satu dengan yang lain - sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan juga di dalam hadith-hadith Rasul-Nya s.a.w.
Bulan Ramadhan ialah bulan "Nuzul al-Qur'an":
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْءَانُ ...
"Bulan Ramadhan (ialah bulan) yang padanya diturunkan al-Qur'an .."(2)
Dalam ayat yang lain diterangkan lagi tentang masa turunnya al-Qur' an:
إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ
"Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Qur'an pada malam lailatulqadar, (malam kemuliaan dan kebesaran)" (3)
Oleh kerana pada ayat yang lalu ditegaskan bahawa Al-Quran diturunkan oleh Allah Taala dalam bulan Ramadhan, maka dapat difaham bahawa "Malam Lailatulqadar" itu ialah salah satu malam dari bulan Ramadhan, tetapi tidak diterangkan malam yang mana satu?
Tujuannya supaya Rasulullah s.a.w dan umatnya membanyakkan ibadat dan amal kebajikan di sepanjang bulan Ramadhan.

Malam Yang Berkat

Malam "Lailatulqadar" juga disifatkan di dalam Al-Quran sebagai "malam yang berkat":
إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ مُبَارَكَةٍ..
"Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat .. "(4)
"Malam yang berkat" yakni malam yang mengandungi pelbagai jenis kebaikan, kerana pada malam itu turunnya malaikat membawa rahmat dan salam sejahtera, seperti yang diterangkan di dalam Al-Quran.
تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ أَمْرٍ. سَلَامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ.
"Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut). Sejahtera malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar". (5)
_______________________________
1. Ayat 1, 2 dan 3, Surah al-Qadar.
2. Ayat 185, Surah al-Baqarah.
3. Ayat yang pertama, Surah Al-Qadar.
4. Ayat 3, Surah Al-Dukhan.
5. Ayat 4 dan 5, Surah al-Qadar.

Kelebihan Menghayati Malam Lailatulqadar:

Kerana mulianya malam "Lailatulqadar", Rasulullah s.a.w menganjurkan supaya umatnya bersedia menyambut dan menghayati malam yang berkat itu dengan pelbagai jenis amal ibadat yang membawa rahmat.
Ini diterangkan dalam hadith yang berikut:
64- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ. (رواه البخاري)
64- Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi Muhammad s.a.w sabdanya: " .. Barangsiapa menghayati malam Lailatulqadar dengan mengerjakan sembahyang (dan pelbagai jenis ibadat yang lain) (1), sedang ia beriman (2) dan mengharapkan rahmat Allah Taala, nescaya ia diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu". (3).
(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari).
______________________________
1. Seperti membaca al-Quran, berzikir, beristighfar, bertaubat dan berdoa pada malam yang berkat itu.
2. (Sedang ia beriman) yakni sedang ia percaya dengan yakin tentang benarnya keistimewaan malam Lailatulqadar yang mulia itu.
3. Fath Al-Bari (5:159).
Rasulullah s.a.w sendiri yang menjadi "contoh yang baik" telah menghayati - terutama sepuluh malam yang akhir dari bulan Ramadhan, dengan beriktikaf di masjid(1) - mengerjakan pelbagai jenis amal ibadat, untuk menyambut kedatangan malam "Lailatulqadar" yang mulia itu.
Ini diterangkan dalam hadith yang berikut:

65- عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْتَهِدُ فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ مَا لَا يَجْتَهِدُ فِي غَيْرِهِ. (رواه مسلم)
65- Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Biasanya Rasulullah s.a.w berusaha dengan bersungguh-sungguh memperbanyakkan amal ibadat pada sepuluh malam yang akhir (dari bulan Ramadhan), berbanding dengan masa yang lain". (2)
(Hadith Sahih - Riwayat Muslim).
______________________________
1. Bab beriktikaf di masjid telah diterangkan dalam "Mastika Hadith" jilid kedua (259- 261).
2. Misykat al-Masabih (1:647).


66- عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْوِتْرِ مِنْ الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ. (رواه البخاري)
66- Dari 'Aisyah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: "Bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatulqadar pada malam-malam ganjil dalam sepuluh malam yang akhir, dari bulan Ramadhan". (1)
(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari).
"Malam-malam yang ganjil" yang tersebut ialah malam 21, 23, 25, 27 dan 29 dari bulan Ramadhan.
Dalam pada itu, ada hadith yang menyatakan bahawa malam Lailatulqadar pernah ditemui dalam zaman Rasulullah s.a.w pada malam 21 Ramadhan. (2)
Adapun hadith yang menyatakan bahawa malam yang mulia itu pernah ditemui dalam zaman baginda - pada malam 23 Ramadhan. (3)
Adapun hadith yang menyatakan bahawa Baginda pernah menyuruh seorang sahabat bertanya mengenai masa Lailatulqadar, supaya ia bersedia menghayatinya, pada malam 27 Ramadhan. (4)
Dari keterangan hadith-hadith yang tersebut dapat difaham bahawa "Malam Lailatulqadar" itu berpindah-pindah dari satu tahun ke tahun yang lain - dalam lingkungan "Sepuluh malam yang akhir" dari bulan Ramadhan.
Jelasnya masa berlakunya malam Lailatulqadar tetap dirahsiakan supaya setiap orang Islam menghayati sepuluh malam yang akhir dari bulan Ramadhan dengan amal ibadat, kerana dengan cara itulah sahaja - mudah-mudahan akan dapat menemuinya dan dapat pula rahmat yang diharap-harapkan, yang akan menjadikan seseorang itu hidup bahagia di dunia dan akhirat.
______________________________
1. Fath al-Bari (5:164).
2. Al-Fath al-Rabbani (10:279).
3. Kitab yang sama (10:281).
4. Kitab yang sama (10:284).

Doa Khusus Untuk Malam Lailatulqadar

67- عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَرَأَيْتَ إِنْ عَلِمْتُ أَيُّ لَيْلَةٍ لَيْلَةُ الْقَدْرِ مَا أَقُولُ فِيهَا قَالَ قُولِي اللَّهُمَّ إِنَّكَ عُفُوٌّ كَرِيمٌ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي. (رواه الترمذي)
67- Dari 'Aisyah r.a., katanya: Saya pernah bertanya dengan berkata: "Ya Rasulullah, Bagaimana kiranya saya mengetahui akan malam Lailatulqadar itu dengan tepat, apa yang saya akan doakan pada saat itu?" "Baginda menjawab: "Berdoalah dengan doa yang berikut: (1)
(( اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ، تُحِبُّ الْعَفْوَ، فَاعْفُ عَنِّى ))
(Hadith Sahih - Riwayat Tirmizi)
Maksud doa yang tersebut: "Ya Allah, ya Tuhanku, sesungguhnya Engkau sentiasa memaafkan (salah silap hamba-hamba-Mu), lagi suka memaafkan, oleh itu maafkanlah salah silapku."

Lailatulqadar: "Kemuncak Bulan Ramadhan".

Menurut huraian ulama', rahimahullah, Lailatulqadar merupakan "kemuncak bulan Ramadhan"(2) kerana kemuliaannya yang diterangkan di dalam al-Qur'an al-Karim dan hadith-hadith Rasulullah s.a.w.
Sebab itulah umat Islam digalakkan menghayati sepuluh malam yang akhir dari bulan Ramadhan dengan amal ibadat, dengan membaca Al-Qur'an dan memperbanyak beristighfar, bertasbih, bertahmid, bertahlil dan berselawat atas Nabi Muhammad s.a.w.
Orang-orang yang tekun beribadat pada sepuluh malam yang tersebut akan mendapat rahmat yang dijanjikan, kerana telah sabit dalam hadith-hadith yang sahih bahawa malam "Lailatulqadar' wujud pada salah satu dari malam-malam yang sepuluh itu, terutama pada malam 21, 23, 25, 27 dan 29.
Orang-orang yang tekun beribadat dalam masa yang tersebut - untuk menemui malam Lailatulqadar - akan mendapat rahmat yang dijanjikan itu, sama ada ia dapat menemuinya (dengan melihat sesuatu yang luar biasa) atau tidak dapat menemuinya dan tidak melihat apa-apa. Kerana yang penting seperti yang tersebut dalam hadith sahih riwayat Bukhari dan Muslim yang telah diterangkan pada bahagian yang lalu ialah:
Pertama: Menghayati masa yang tersebut dengan amal ibadat.
Kedua: Beriman dengan yakin bahawa malam Lailatulqadar itu adalah benar dan dituntut menghayatinya dengan amal ibadat.
Ketiga: Amal ibadat itu dikerjakan kerana Allah semata-mata dengan mengharapkan rahmat-Nya dan keredhaan-Nya.
Sebelum itu hendaklah ia bertaubat dengan sebenar-benarnya - "Taubat Nasuha" dan terus "Beristiqamah" (tetap teguh - mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya).

Banyak Orang Yang Menyaksikan Malam Lailatulqadar

Imam Nawawi rahimahullah, berkata: "Malam Lailatul Qadar dapat disaksikan oleh orang yang dikehendaki Allah pada tiap-tiap tahun dalam bulan Ramadhan, sebagaimana yang telah diterangkan dengan jelas dalam hadith-hadith Rasulullah s.a.w. dan diberitakan juga oleh orang-orang yang soleh ...."(3)
Kemudian Imam Nawawi menyebutkan penjelasan Imam Al-Mawardi rahimahullah, dalam kitabnya "Al-Hawi": Bahawa orang yang dapat menyaksikan malam Lailatulqadar, elok ia menyembunyikan perkara-perkara yang telah disaksikan (supaya ia terselamat dari perasaannya) dan hendaklah ia berdoa (pada saat yang berkat itu) dengan ikhlas dan sepenuh-penuhnya yakin, dengan permohonan yang disukainya mengenainya agama dan dunianya dan biarlah kebanyakan doanya itu untuk (kebaikan dan keselamatan) agama dan hari akhirat."(4)

Tanda-Tanda Mengenai Malam Lailatulqadar

Alim ulama' rahimahullah menyebutkan beberapa tanda atau alamat berhubung dengan malam "Lailatulqadar".
Ada yang berkata: Orang yang menemui malam "Lailatulqadar", ia melihat nur yang terang benderang di segala tempat, hatta segala ceruk yang gelap-gelita.
Ada pula yang berkata: Ia mendengar ucapan salam dan kata-kata yang lain dari malaikat.
Ada juga yang berkata: Ia melihat segala benda (termasuk pohon-pohon kayu) rebah sujud.
Ada pula yang berkata: Doa permohonannya makbul.
Imam Al-Tabari rahimahullah memilih "qaul" yang menegaskan: Bahawa semuanya itu tidak lazim (tidak semestinya ia dapat melihatnya), kerana tidak disyaratkan "melihat sesuatu atau mendengarnya" untuk menemui malam Lailatulqadar. (5)
Yakni yang penting ialah taat mengerjakan amal bakti kerana Allah semata-mata, kerana balasannya tetap terjamin dan akan dapat dinikmati di dunia dan akhirat.
______________________________
1. Fiqh al-Sunnah (1:473).
2. Al-Ibadah, Ahkam wa Asrar (2:128).
3. Al-Majmu' (6:403).
4. Kitab yang sama (6:403).
5. Al-Fath al-Rabbani (10:296).

Saturday, August 6, 2011

ISTIQOMAH

Istiqomah menurut bahasa ertinya tetap teguh, terus menerus, konsisten atau teguh pendirian. Umar al-Khattab menjelaskan tentang istiqamoh dengan berkata:

“Istiqomah itu tetap menurut perintah mengikuti perintah dan menjauhi larangan serta tidak menyimpang daripadanya”

“Daripada Aisyah r.ha., Nabi Muhammad SAW bersabda: “Wahai manusia lakukanlah amalan mengikut keupayaan kamu. Sesungguhnya Allah tidak jemu sehinggalah kamu jemu. Amalan yang paling Allah sukai ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Menurut keterangan daripada Syarah Sahih Muslim:

“Amalan yang sedikit tetapi berterusan adalah lebih baik daripada amalan yang banyak tapi terputus. Ini kerana amalan berkenaan menyebabkan seseorang itu melakukan ketaatan, berzikir, berwaspada dan mendampingkan diri kepada Allah secara berterusan.”

Ilmu tanpa amal adalah ibarat pokok yang tidak berbuah.

“Ilmu tanpa amal, gila dan amal tanpa ilmu, sia-sia.” (Al-Ghazali)

Kaitan Istiqomah dengan Niat.

عن أمِيْرِ المُؤْمِنِيْنَ أبِيْ حَفْصٍ عُمَرَ بْنِ الخَطَّاب رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ ا للهِ
صلى الله عليه وسلم یَقُولُ: إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى فَمَنْ كانت
هِجْرَتُهُ إِلىَ اللهِ وَرَسُولِهِ فَهِجْرَتُهُ إلى اللهِ ورَسُولِهِ وَمَنْ كانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا یُصِيْبُهَا أَوِ امْرَأَ ةٍ
یَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْه

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin ‘Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

“Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

عن أبي عمرو وقيل أبي عمرة سفيان بن عبد الله قال: قلت یا رسول الله! قل لي في
الإسلام قولا لا أسأل عنه أحد غيرك. قال : قل آمنت بالله ثم استقم

Daripada Abu `Amru atau digelar juga Abu `Amrah Sufian ibn Abdullah r.a. beliau berkata:
Aku berkata: Wahai Rasulullah! Ajarkan untukku dalam lslam suatu ucapan yang aku tidak perlu lagi bertanya kepada orang lain selainmu. Baginda bersabda: Ucapkanlah: Aku beriman kepada Allah. Kemudian hendaklah engkau beristiqamah.
(Riwayat Muslim)

Cara-cara memupuk sikap Istiqomah.

Terdapat beberapa faktor lain yang dapat menjana sikap istiqamah dalam beribadat:

-Ilmu yang mantap tentang ibadah tersebut.
-Bersahabat dengan orang yang istiqamah
-Menghayati sirah orang-orang yang istiqamah
-Mujahadah melawan nafsu
-Doa memohon pertolongan Allah SWT

RUKUN ISLAM,IMAN DAN IHSAN

Hadis Ketiga Belas
13- عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ قَالَ بَيْنَمَا نَحْنُ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ يَوْمٍ إِذْ طَلَعَ عَلَيْنَا رَجُلٌ شَدِيدُ بَيَاضِ الثِّيَابِ شَدِيدُ سَوَادِ الشَّعَرِ لَا يُرَى عَلَيْهِ أَثَرُ السَّفَرِ وَلَا يَعْرِفُهُ مِنَّا أَحَدٌ حَتَّى جَلَسَ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَسْنَدَ رُكْبَتَيْهِ إِلَى رُكْبَتَيْهِ وَوَضَعَ كَفَّيْهِ عَلَى فَخِذَيْهِ وَقَالَ يَا مُحَمَّدُ أَخْبِرْنِي عَنْ الْإِسْلَامِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْإِسْلَامُ أَنْ تَشْهَدَ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَتُقِيمَ الصَّلَاةَ وَتُؤْتِيَ الزَّكَاةَ وَتَصُومَ رَمَضَانَ وَتَحُجَّ الْبَيْتَ إِنْ اسْتَطَعْتَ إِلَيْهِ سَبِيلًا قَالَ صَدَقْتَ قَالَ فَعَجِبْنَا لَهُ يَسْأَلُهُ وَيُصَدِّقُهُ قَالَ فَأَخْبِرْنِي عَنْ الْإِيمَانِ قَالَ أَنْ تُؤْمِنَ بِاللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَتُؤْمِنَ بِالْقَدَرِ خَيْرِهِ وَشَرِّهِ قَالَ صَدَقْتَ قَالَ فَأَخْبِرْنِي عَنْ الْإِحْسَانِ قَالَ أَنْ تَعْبُدَ اللَّهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ قَالَ فَأَخْبِرْنِي عَنْ السَّاعَةِ قَالَ مَا الْمَسْئُولُ عَنْهَا بِأَعْلَمَ مِنْ السَّائِلِ قَالَ فَأَخْبِرْنِي عَنْ أَمَارَتِهَا قَالَ أَنْ تَلِدَ الْأَمَةُ رَبَّتَهَا وَأَنْ تَرَى الْحُفَاةَ الْعُرَاةَ الْعَالَةَ رِعَاءَ الشَّاءِ يَتَطَاوَلُونَ فِي الْبُنْيَانِ قَالَ ثُمَّ انْطَلَقَ فَلَبِثْتُ مَلِيًّا ثُمَّ قَالَ لِي يَا عُمَرُ أَتَدْرِي مَنْ السَّائِلُ قُلْتُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ قَالَ فَإِنَّهُ جِبْرِيلُ أَتَاكُمْ يُعَلِّمُكُمْ دِينَكُمْ. (مسلم)


13 - Dari Umar bin Al Khattab r.a., katanya: Pada suatu hari, dalam masa kami sedang duduk di sisi Rasulullah s.a.w, tiba-tiba muncul kepada kami seorang lelaki: Putih melepak pakaiannya, hitam legam rambutnya, tidak kelihatan padanya tanda-tanda perjalanan (sebagai seorang pengembara), dan tidak ada seorang pun dari kami yang mengenalinya; (demikianlah halnya) sehinggalah ia duduk mengadap Nabi s.a.w. lalu ia menemukan kedua lututnya kepada kedua lutut Baginda sambil meletakkan kedua tapak tangannya atas kedua pahanya serta berkata: "Wahai Muhammad! Beritahulah kepada ku tentang (dasar-dasar) Islam(1)?" Maka Rasulullah s.a.w. menerangkan: "(Dasar-dasar) Islam itu ialah engkau melafazkan kalimah syahadat (meyakini serta menerangkan kebenaran) bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad ialah pesuruh Allah dan engkau mendirikan sembahyang dan memberi zakat serta berpuasa pada bulan Ramadan dan juga engkau mengerjakan Haji ke Baitullah jika engkau mampu sampai kepadanya." (Mendengarkan penerangan Baginda yang demikian) ia berkata: "Benarlah apa yang tuan katakan itu!" Kata Umar: Maka kami merasa hairan terhadap orang itu - ia bertanya kepada Baginda dan ia juga mengesahkan benarnya (sebagai seorang yang mengetahui perkara yang ditanyakannya itu). Kemudian ia bertanya lagi: "Beritahulah kepada ku tentang iman(2)?" Nabi s.a.w. menerangkan: "(Iman itu ialah) engkau beriman kepada Allah, Malaikat MalaikatNya, Kitab-kitabNya, Rasul-rasulNya, serta Hari Akhirat; dan engkau beriman kepada takdir (yang ditentukan oleh Allah) - baiknya dan buruknya." (Mendengarkan yang demikian) ia berkata: "Benarlah apa yang tuan katakan itu." Kemudian ia bertanya lagi: "Beritahulah kepada ku tentang ihsan(3)?" Nabi s.a.w. menerangkan: "(Ihsan itu ialah) engkau mengerjakan ibadat kepada Allah Taala seolah-olah engkau melihatNya (memerhatikan keadaanmu)(4), kiranya engkau tidak dapat melakukan yang demikian maka ingatlah bahawa Allah Taala tetap memerhatikan keadaan mu." Kemudian orang itu bertanya lagi: "(Selain itu) maka beritahulah kepada ku tentang (masa berlakunya) hari qiamat?" Nabi s.a.w. menjawab: "Orang yang ditanyakan mengenai hal itu bukanlah seorang yang lebih mengetahui dan yang bertanya." Orang itu bertanya lagi: "Jika demikian maka beritahulah kepada ku tentang tanda-tanda kedatangan hari qiamat itu?" Nabi s.a.w. menerangkan: "(Tanda-tanda itu ialah engkau akan dapati) adanya hamba perempuan yang melahirkan anak yang menjadi tuannya dan engkau akan melihat orang-orang (penduduk desa) yang berkaki ayam, yang tidak berpakaian sempurna, yang miskin menderita, yang menjadi gembala kambing bermegah-megah dan berlawan-lawan antara satu dengan yang lain dalam perkara membina bangunan-bangunan yang tinggi. " Umar berkata: Kemudian orang itu pun pergilah, maka tinggallah aku beberapa hari (memikirkan halnya dan hendak mengetahui siapa dia).

Kemudian Rasulullah s.a.w. bertanya kepadaku, sabdanya: "Wahai Umar! Tahukah engkau siapa orang yang bertanya itu?" Aku menjawab: "Allah dan RasulNya jualah yang mengetahui. "

(Pada saat itu) Rasulullah s.a.w. menerangkan: "Orang itu ialah Jibril, ia datang untuk mengajar kamu akan agama kamu."

(Muslim)

________________________________
(1) "Islam" di sini ialah dengan pengertian yang kedua yang telah diterangkan pada bab yang ketiga.

(2) "Iman" bererti:
Pertama - Percayakan benarnya sesuatu yang tertentu serta sanggup mematuhi apa yang dikehendaki oleh kepercayaan itu.
Kedua - Segala jenis amalan taat - hasil dari kepercayaan dan kesanggupan itu.
Ketiga - Perkara-perkara yang diimankan itu; dan iman dengan erti inilah yang dikehendaki di sini.

(3) "Ihsan" di sini maksudnya: Cara mengerjakan sesuatu taat - terutama amal ibadat - dengan sebaik-baiknya, lengkap segala peraturannya serta dengan ikhlas kepada Allah Taala.

(4) Yakni hendaklah engkau lakukan amal ibadat atau taatmu kepada Allah s.w.t. dengan keadaan seolah-olah engkau nampak Ia melihat dan memerhatikan zahir batinmu. kiranya engkau tidak dapat mencapai keadaan itu maka hadirkanlah keyakinanmu bahawa Allah Taala tetap melihat dan memerhatikan mu kerana sesungguhnya Ia sentiasa melihat dan memerhatikan segala keadaanmu.

Hadis yang ketiga belas ini menerangkan:

(1) Ada kalanya Malaikat pembawa Wahyu - Menyamar diri sebagai seorang manusia.

(2) Iman, Islam dan Ihsan.

(3) Tanda-tanda kedatangan Qiamat.

Huraiannya:

Pertama - Malaikat Jibril (a.s) ada kalanya menyamar sebagai seorang manusia:
Pada suatu hari, sedang Rasulullah s.a.w dihadapi oleh sahabat-sahabatnya, tiba-tiba datanglah seorang lelaki seperti yang diterangkan dalam hadis ini, lalu bertanya tentang perkara-perkara agama. Apabila Baginda menjawab pertanyaannya, ia segera mengesahkan benarnya. Ini menjadikan sahabat-sahabat Baginda hairan memikirkan halnya, dia bertanya dan dia pula mengesahkan kebenaran jawapan Baginda.

Kehairanan sahabat-sahabat Nabi itu hilang apabila Baginda sendiri menerangkan pada akhirnya bahawa yang bertanya itu ialah Malaikat Jibril (as.).

Soal Wahyu:

Wahyu adalah satu perkara pokok yang menjadi dasar bagi segala perkara agama. Orang yang tidak mempercayai wahyu, sudah tentu tidak ada kepercayaannya kepada Rasul-rasul utusan Allah, Kitab-kitabNya dan lain-lain lagi yang berhubung dengan iman. Ada orang yang percaya, bahawa junjungan kita Muhammad s.a.w. seorang pemimpin yang bijak. Jika setakat itu sahaja kepercayaannya terhadap Baginda maka itu belum cukup, selagi dia tidak mempercayai bahawa kebijaksanaan Baginda itu - selain daripada sifat semula jadinya yang istimewa, Baginda pula mendapat wahyu dan pimpinan dan Allah Azza wa Jalla.

Kedua - Iman, Islam dan Ihsan berkaitan satu sama lain:
Di antara perkara-perkara yang ditanyakan kepada Rasulullah s.a.w. ialah soal Iman, Islam dan Ihsan, lalu dijawab oleh Baginda satu persatu. Walau pun pertanyaan itu dibuat satu-satu dengan berasingan, tetapi ketiga-tiganya merupakan satu hakikat jua, iaitu "Agama". Hal ini telah dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. pada akhir hadis ini bahawa yang bertanya itu ialah Malaikat Jibril, datangnya untuk mengajar mereka akan "Agama" mereka.

Jelasnya, "Agama" itu jika dipandang dan segi amalan-amalan zahir disebut dengan nama "Islam"; jika dipandangi dari segi kepercayaan dan keyakinan hati disebut dengan nama "Iman"; dan jika dipandang dan segi kesempurnaan cara pelaksanaan dua perkara itu disebut dengan nama "Ihsan".

Tiga perkara yang dipandang dari segi-segi yang berlainan itu tidak harus berpisah antara satu dengan yang lain.

"Agama" itu adalah ibarat sebatang pohon, - Akar umbinya serta usul asalnya bahkan benihnya ialah "Iman"; dan seluruh pohon itu meliputi batangnya, dahannya, rantingnya, daunnya, bunganya dan buahnya ialah "Islam"; manakala kesuburannya, keharumannya, kemanisannya dan seluruh keindahannya ialah "Ihsan".

Dengan huraian ini nyatalah salahnya orang yang menganggap bahawa Iman, Islam dan Ihsan boleh berasingan antara satu dengan yang lain; dan lebih-lebih lagi salahnya orang yang menganggap bahawa Ihsan itu boleh ada atau dapat dilaksanakan dengan ketiadaan Iman dan Islam, kerana ihsan itu ialah sifat bagi keduanya dan sememang maklum bahawa "Sifat" tidak boleh ada dengan ketiadaan "Mausuf" (perkara yang disifatkan).

Islam dan Asasnya yang lima:

Sebagaimana yang telah diterangkan bahawa salah satu dan pengertian "Islam" itu ialah hukum-hukum dan keterangan-keterangan yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. dan Allah `Azza wa Jalla.

Hukum-hukum dan peraturan yang tersebut, yang terdiri dari suruh dan tegah, meliputi segala bidang hidup umat manusia.

Islam yang demikian sifatnya, berasaskan lima perkara - sebagaimana yang diterangkan oleh Baginda dalam hadis mi.

Dari lima asas inilah terbit dan kembali kepadanya segala hukum dalam setiap keadaan umat manusia - dalam alam kehidupan ini.

Asas-asas Islam yang lima itu ialah:

Pertama - Mengakui kebenaran tiap-tiap perkara yang benar dan melafazkan "Kalimah At-Taqwa":
Di antara syarat-syarat bagi mencapai keselamatan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat ialah menghormati kebenaran setiap perkara yang benar, dengan jalan mengakui dan mengamalkannya. Ini dengan sendirinya mewajibkan menolak kesalahan tiap-tiap perkara yang salah.

Oleh kerana sebenar-benar perkara yang benar ialah keesaan Allah Taala Tuhan yang wajib Al-Wujud dan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w., maka mengucap dua kalimah syahadat:

أَشْهَدُ أَنْ لا إِلَهَ إِلا الله وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ الله
- Yang ertinya: "Aku meyakini serta menerangkan kebenaran, bahawa sesungguhnya tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad ialah pesuruh Allah" adalah menjadi asas atau "Rukun Islam" yang pertama bahkan menjadi anak kunci bagi seseorang masuk Islam.

Tiap-tiap orang Islam dituntut melafazkan "Kalimah Al-Taqwa" dalam kehidupan sehari-hari.

"Kalimah Al-Taqwa" itu ialah tiap-tiap tutur kata yang memelihara dan menyelamatkan seseorang dan tiap-tiap perkara yang membahayakannya serta mendatangkan manfaat dan kebahagiaan, sama ada di dunia mahu pun di akhirat dan semulia-mulia "Kalimah At-Taqwa" itu ialah:

لا إِلَهَ إِلا الله مُحَمَّدٌ رَسُوْلُ الله

Kedua - Menggunakan segala anggota berusaha dan mengerjakan dengan cara yang teratur akan amal-amal bakti sama ada yang diwajibkan atau yang digalakkan untuk diri dan masyarakat, bagi mengenang budi dan mensyukuri nikmat-nikmat, dengan harapan mencapai kebaikan dan menjauhkan perkara-perkara yang merosakkan, serta dengan sepenuh-penuh kesedaran mengingati Allah dan berdoa kepadaNva memohon taufik dan hidayah-Nya ke jalan yang diredhai-Nya.
Semuanya itu terdapat dalam "Sembahyang", dan dengan ini nyatalah hikmatnya sembahyang itu menjadi asas atau "Rukun Islam" yang kedua, dan dengan ini juga nyatalah tepatnya sabda Nabi s.a.w. yang maksudnya: "Sembahyang itu tiang agama, sesiapa yang meninggalkannya maka sesungguhnya ia telah meruntuhkan agama."

(Untuk penjelasan yang lebih lanjut mengenai sembahyang, lihatlah lampiran "B", pada akhir bab ini).

Ketiga - Berkorban dengan Harta Benda:
Harta benda adalah merupakan asas bagi segala urusan hidup dalam dunia ini. Oleh itu maka sebahagian besar dan daya usaha manusia dicurahkan untuk mencari dan memiliki harta benda dan kekayaan. Tetapi bukan semuanya berhasil mencapai kesenangan dan kemewahan itu dengan sepenuhnya, bahkan bukan sedikit - dari setiap bangsa di dunia ini - yang hidup miskin dan menderita.

Dengan yang demikian, maka membelanjakan harta benda untuk menolong orang-orang yang fakir miskin dan yang memerlukan bantuan, dan juga untuk kebajikan Islam - sebagaimana yang terdapat dalam amalan "Zakat" - adalah menjadi satu cara hidup yang aman makmur

Oleh itu, maka nyatalah hikmatnya kewajipan mengeluarkan zakat itu menjadi salah satu dari asas atau "Rukun Islam".

Keempat - Membendung kemahuan hawa nafsu:
Sebahagian besar dari kejadian kacau bilau yang berlaku dalam sesebuah masyarakat adalah akibat dari runtunan hawa nafsu yang buas liar dan melampaui batas, sehingga ada yang melupai kehormatan din dan rumahtangga, mencuaikan tugas dan kewajipan, mengkhianati amanah dan berbagai-bagai perkara jenayah lagi.

Oleh itu, maka kewajipan menyekat hawa nafsu dan menentang runtunan liarnya, serta melarih diri mengingati pengawasan Allah Taala akan segala yang zahir dan yang batin - sebagaimana yang terdapat dalam amalan "Puasa" - adalah menjadi satu cara hidup yang aman sentosa.

Dengan yang demikian, maka nyatalah hikmatnya ibadat puasa itu menjadi salah satu dari asas atau "Rukun Islam".

Kelima - Menghadiri tempat-tempat perhimpunan untuk kebajikan:
Manusia tidak seharusnya memencilkan atau mengasingkan dirinya dari sebarang perhubungan dengan sesama manusia.

Banyak perkara yang bersangkut paut dengan hidupnya, dengan agamanya, dengan pentadbiran negara dan masyarakatnya tak dapat diselesaikan melainkan dengan jalan perjumpaan dan perundingan, lebih-lebih lagi melalui persidangan antarabangsa.

Oleh itu, bagi mencapai kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat, maka menghadiri tempat-tempat perhimpunan untuk kebajikan sekadar yang mampu, bagi melahirkan sikap memperhambakan diri kepada Allah `Azza wa Jalla, dan bersyukur akan nikmat-nikmatNya, serta melaksanakan dasar bersatu padu dan bersefahaman antara sesama umat Islam dan juga untuk mendapat berbagai-bagai faedah dan manfaat dari segi rohani, akhlak, kemasyarakatan dan ekonomi - sebagaimana yang terdapat dalam "Ibadat Haji" - adalah menjadi satu cara hidup yang aman damai dan bahagia.

Dengan yang demikian, maka nyatalah hikmatnya ibadat haji itu menjadi salah satu dari asas atau "Rukun Islam".

Iman dan Asasnya yang enam:

Sebagaimana yang diketahui bahawa Islam yang diterangkan dalam hadis ini bererti: "Mematuhi apa yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w maka sudah tentu Islam yang bererti: "Kepatuhan yang sebenar-benarnya tidak akan wujud dengan ketiadaan iman atau kepercayaan yang tertentu, kerana: Islam itu adalah ibarat "Pokok", manakala iman pula adalah ibarat !`Benih"; Dan bahawa sebarang gerak-geri yang disengajakan oleh manusia adalah timbulnya dan sesuatu kepercayaan yang tertentu.

Dengan yang demikian, maka salah satu di antara rukun-rukun agama ialah iman atau kepercayaan, yang berasaskan enam perkara.

Wujudnya Allah Pencipta Seluruh Alam:
Sebagaimana yang sedia maklum, manusia yang waras akal fikirannya memang sedar bahawa wujudnya adalah diciptakan oleh Allah Maha Pencipta dan sebagaimana Ia sedar bahawa segala keadaan dan perjalanan dirinya tertakluk kepada undang-undang dan peraturan yang ditetapkan oleh Maha Pencipta itu, ia juga sedar bahawa dirinya tersusun dan jisim dan roh.

Undang-undang dan peraturan yang disedarinya menguasai keadaan dan perjalanan dirinya itu hanyalah untuk keselamatan jisimnya apabila ia mematuhinya dengan sempurna, maka sudah tentu bagi rohnya pula wajiblah ia mematuhi dengan sempurna akan undang-undang dan peraturan yang dikhaskan oleh Maha Pencipta untuk keselamatan roh.

Dengan yang demikian, ia sudah tentu mempercayai adanya Maha Pencipta - iaitu Allah Taala - yang menciptakan diri manusia dan menciptakan undang-undang serta peraturan jasmani dan rohaninya

Adanya Malaikat:
Undang-undang dan ilmu-ilmu jasmani boleh dicari dan dikaji oleh manusia, tetapi undang-undang dan peraturan rohani iaitu "Hukum-hukum Syarak" tidak akan dapat diketahui melainkan dengan jalan diterima dari Allah Taala dengan perantaraan Malaikat Wahyu, kerana menurut keadaan semula jadinya, manusia tidak dapat menerima hukum secara langsung dari Allah S.W.T. kecuali Rasul-rasul pilihan, itupun pada keadaan yang tertentu.

Adanya Kitab-kitab Allah:
Hukum-hukum dan peraturan yang disampaikan oleh Malaikat Wahyu itu ditulis sebagai sebuah kitab untuk dibaca dan dipelajari serta diamalkan oleh umat manusia.

Adanya Rasul-rasul Allah:
Sememang maklum bahawa undang-undang dan peraturan-peraturan itu tidak dapat difahami sebagaimana yang semestinya oleh kebanyakan manusia, maka Allah Taala yang Amat Bijaksana telah memilih orang yang diketahuiNya layak menjadi penyampai dan pensyarah yang menerangkan undang-undang itu satu persatu dan pensyarah itu ialah Rasul-rasulNya.

Adanya Alam Akhirat:
Sesuatu undang-undang atau perlembagaan tidak akan ada nilainya kalaulah tidak dihormati dan dipatuhi.

Kebanyakan manusia tidak menghormati sesuatu undang-undang atau perlembagaan melainkan setelah mengetahui balasan baik bagi orang yang menghormati dan mematuhinya dan balasan buruk bagi orang yang mencabuli dan mencuaikannya.

Oleh sebab hidup manusia dalam alam dunia ini adalah untuk sementara waktu sahaja maka balasan yang sepenuh-penuh kesempurnaannya dan seadil-adil keadaannya tentulah tidak difikir layak diberikan seseorang menerimanya dalam alam sementara ini, bahkan bagi melayakkan yang tersebut, diakui benar adanya satu alam yang berpanjangan lagi kekal iaitulah "Alam Akhirat" - Alam yang bermula dan masa berakhir hidup manusia dalam alam dunia ini.

Tambahan pula manusia dijadikan Allah tersusun dari jisim dan roh yang tidak akan habis atau binasa dengan berakhirnya alam dunia ini sekalipun jisimnya menjadi debu atau abu, bahkan roh itu tetap wujudnya berpindah dari satu keadaan ke satu keadaan hingga bercantum dengan tubuhnya yang dibangkitkan hidup semula untuk masa yang kekal itu.

Adanya Qadar dan Taqdir Allah:
Dari huraian-huraian yang tersebut, nyatalah bahawa Allah S.W.T. ialah pencipta seluruh alam meliputi manusia dan makhluk-makhluk yang lain dan Dialah yang menyusun, mengatur dan menentukan hukum-hukum, undang-undang dan peraturan, bagi segala keadaan makhluk seluruhnya, sama ada yang baik atau yang buruk.

Maka susunan dan penentuan ada nya dan berlakunya baik dan buruk itu ialah "Qadar Taqdir" tuhan yang azali, yang menjadi "Rukun Iman" yang akhir.

Ihsan dan Peringkat-peringkatnya:

Sebagaimana yang sedia diketahui bahawa "Ihsan" ialah cara mengerjakan sesuatu taat dengan sebaik-baiknya, lengkap segala peraturannya, serta dengan ikhlas kepada Allah Taala, iaitu bersih dari syirik dan sikap munafik serta bersih dan perasaan riak, ujub dan lain-lainnya.

Yang demikian ini ialah hakikat Ihsan yang menjadi salah satu dari "Rukun-rukun Agama" yang tiga, yang dengan ketiadaannya maka yang dua lagi - Iman atau Islam - tidak diterima, kerana taat yang dikerjakan dengan ketiadaan Ihsan adalah ibarat patung yang tidak bernyawa.

Ini ialah peringkat Ihsan yang pertama, yang mesti diusahakan oleh tiap-tiap seorang.

Selain dari itu, ada dua peringkat lagi iaitu yang diterangkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis ini.

Tanda-tanda kedatangan hari Qiamat:
Oleh kerana hikmatnya Allah Taala menjadikan jin dan manusia serta makhluk-makhluk yang lain ialah untuk masing-masing membuktikan taat setianya dan penghormatannya dengan mengerjakan amal ibadat kepadaNya, maka untuk membicarakan dan membalas ketaatan dan kederhakaan tiap-tiap makhluk, sudah tentu adanya satu masa yang ditetapkan untuk tujuan yang demikian, iaitu "Hari Qiamat".

Oleh sebab itulah si penanya bertanya kepada Baginda tentang waktu kedatangan hari Qiamat itu, akan tetapi oleh kerana soal waktu kedatangan hari Qiamat itu adalah satu dari lima perkara yang pengetahuannya tertentu bagi Allah jua, maka Rasulullah s.a.w. menjawab dengan sabdanya yang bermaksud: "Orang yang ditanyakan soal itu samalah sahaja dengan orang yang bertanya, tetapi aku akan menerangkan tanda-anda kedatangannya", lalu Baginda menerangkan seperti yang tersebut dalam hadis ini.

Selain dari yang diterangkan dalam hadis ini, ada didapati dalam kitab-kitab hadis yang lain banyak lagi tanda-tanda tentang hampirnya kedatangan hari Qiamat, di antaranya:

Pertama - Apabila susut dan kurang ilmu pengetahuan agama dengan kematian seseorang alim yang ahli dalam sesuatu cawangan ilmu yang tertentu dan tidak dapat diganti

Kedua - Apabila merebaknya kejahilan mengenai ilmu agama dengan sebab kurangnya orang-orang yang suka mempelajarinya.

Ketiga - Apabila diserahkan sesuatu urusan agama seperti jawatan ketua negara, mufti, kadhi dan sebagainya, untuk dikendalikan oleh orang yang bukan ahlinya.

Keempat - Apabila sesuatu masyarakat dipimpin oleh seseorang ketua yang fasik yang suka menggalakkan maksiat dan perbuatan yang durjana.

Kelima - Apabila orang yang benar dikatakan pendusta, pendusta dikatakan orang yang benar; orang yang khianat disifatkan amanah, orang yang amanah dikatakan khianat; orang yang adil disifatkan zalim, orang yang zalim disifatkan adil dan orang-orang yang jahil berpengaruh dan bermaharajalela dengan berlagak pandai dalam ilmu agama sehingga orang alim terpaksa mendiamkan diri (setelah tugasnya tidak lagi dihargai).

Keenam - Apabila arak menjadi adat diminum berterang-terang di sana sini, dengan digalakkan pula oleh pemimpin-pemimpin dan ketua.

Ketujuh - Apabila perbuatan lucah dan cabul dilakukan dengan berterang-terang di merata-rata tempat dengan tidak mendapat sebarang teguran kerana kelemahan iman, sehingga kalaulah ada yang menegur maka orang yang menegur itu boleh dikatakan imannya pada masa itu sekuat iman Sayidina Abu Bakar dan Sayidina Umar pada zaman sahabat-sahabat Nabi s.a.w.

SUMBER DARI ISLAMGRID.GOV.MY